Sejarah

ASAL-USUL KAMPUNG WONOD

Kampung Wonod telah pun wujud sejak 60 tahun yang lalu.Walau bagaimanapun ia bukanlah nama rasmi pada masa itu kerana corak kehidupan masyarakat pada masa itu masih lagi primitif dan sering berpindah randah dengan menyusur sepanjang Sungai Labuk. Pengiktirafan Kampung Wonod telah dibuat oleh kerajaan setelah memenuhi syarat pembentukan sesebuah penempatan di mana penduduk tidak lagi berpindah randah dan mengusahakan tanah yang mereka telah pohon daripada kerajaan tempatan.

Mengikut sejarah perkembangan Kampung Wonod, nama kampung ini telah diambil berdasarkan satu kejadian yang amat menakjubkan kepada semua penduduk kampung pada masa itu. Hal ini juga turut tersebar luas di sekitar Daerah Kecil Telupid.

Cerita ini bermula daripada kisah seorang wanita dalam kampung tersebut di mana wanita itu sedang sarat mengandung. Apabila tiba untuk melahirkan anak, wanita tersebut menghadapi kesulitan untuk bersalin, tambahan pula tiada perkhidmatan kesihatan kerajaan yang berhampiran pada masa itu. Akhirnya wanita tersebut meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, anak di dalam kandungan itu sempat diselamatkan oleh Bidan tradisional. Seluruh masyarakat kampung merasa sungguh sedih dan terharu di atas kejadian yang menimpa wanita tersebut. Mereka berkumpul dan bergotong-royong untuk menyempurnakan majlis pengebumian wanita tersebut mengikut cara traditional. Mereka membungkus mayat itu dengan kulit kayu yang di ikat dengan rotan sebelum ianya disemadikan. Setelah selesai mereka pun membawa mayat tersebut ke tempat perkuburan yang berhampiran dengan sebuah sungai. Sebelum mayat itu dikubur, mereka terlebih dahulu membersihkan kawasan tersebut.

Ketika hampir siap kerja pembersihan itu dijalankan, semua orang yang berada di kawasan perkuburan itu terkejut apabila secara tiba-tiba mereka mendengar satu suara yang meminta pertolongan. Suara itu agak lemah. Mereka yang berada di situ terus menghentikan kerja pembersihan dan memperhatikan bungkusan mayat tadi . Mereka terkejut apabila mendengar mayat wanita tersebut berkata “Tolong lepaskan saya kerana saya masih hidup”.Setiap orang yang berada di tempat kejadian merasa sangat hairan dan takut. Setelah mereka memastikan bahawa wanita tersebut telah hidup semula, mereka pun membuka ikatan rotan dan kulit kayu yang membungkusi tubuh wanita itu.

Orang-orang yang berada di tempat kejadian itu sangat hairan lalu bertanya kepada wanita tersebut tentang apa sebenarnya yang berlaku pada wanita tersebut. Wanita tersebut menceritakan bahawa beliau terjaga apabila dia merasakan air sedang menitis di bahagian kepalanya. Setiap orang yang ada di situ masih lagi kehairanan dan mereka pun mula mencari punca air yang sedang menitis itu.

Setelah di kenal pasti, mereka mendapati bahawa air tersebut berpunca daripada satu akar hutan. Akar hutan tersebut putus terjuntai dicantas oleh salah seorang penduduk kampung semasa membersihkan kawasan perkuburan wanita tersebut. Akar hutan yang terputus itu mengeluarkan air yang jernih. Air jernih tersebut berada tepat di hujung akar yang di cantas.

Setiap orang yang menyaksikan kejadian itu merasa keajaiban. Lalu mereka menamakan sungai yang berhampiran dengan kawasan kejadian itu sebagai VONOD (Vonod ialah air yang keluar daripada akar hutan dalam bahasa dusun Labuk).

Sejak daripada peristiwa itu, semua penduduk kampung tersebut menamakan kempung mereka sebagai Kampung Vonod. Akan tetapi setelah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah kampung penuh,maka Kampung Vonod telah ditukarkan kepada Kampung Wonod.

Perubahan nama kampung ini mungkin disebabkan oleh kesulitan pihak pendaftaran semasa menulis nama kampung ini. Tambahan pula pada waktu itu pihak yang memerintah Negeri Sabah adalah golongan Orang Putih (Australia). Kita sedia maklum bahawa Orang Putih sukar untuk berbahasa Melayu apatah lagi Dusun.

Demikianlah lagenda asal-usul Kampung Wonod yang masih kekal dan diingati sehingga saat ini.

SEKIAN.

Disediakan oleh: Reck Teveter Giswa

Dikemaskini oleh: Nurin Nasrin

5 responses to “Sejarah

  1. SAYA PERNAH MEMBUAT TEGURAN BERKAITAN DENGAN SEJARAH KG WONOD, SEBELUM SESUATU CERITA ITU DISIARKAN PERLU DIBAWA KE MESYUARAT UNTUK DIBINCANG KEMUDIAN DISOKONG…KAN KITA ADA BIRO KEBUDAYAAN….APA PERANAN BIRO INI…ADAKAH KG INI WUUJUD HANYA 60 TAHUN DULU…DALAM ERA NAKHODA SIBAT DAN OT BATIUNG…DALAM REA BERAPA? INI ADALAH MEMBUAT BELITKAN FAKTA DAN TAK ADA KAJIAN MENYELURUH…MOHON SEJARA INI DISEMAK SEMULA. BILAKAH KUBURAN MAMBAU WUJUD…..JIKA ADA KUBURAN MAKNANYA ADA PENEMPATAN TERDAHULU…DI MANA SUKU TOLOB DI KUBUR…..?

    • cadangan encik vickly disokong.sepatutnya ada kajian menyeluruh.
      mungkin perlu disertakan gambar2 tapak perkuburan lama tau apa2 sahaja artifak yang mempunyi kaitan..

Tinggalkan Komen Anda